Sunday 20 March 2011

Senarai hutang menanti pada usia muda!

Akhirnya Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan syarat hanya mereka yang berpendapatan minimum RM24,000 setahun layak memohon kad kredit. Bagi yang mempunyai pendapatan RM36,000 setahun atau kurang hanya boleh memiliki kad kredit daripada dua pengeluar kad.

Mereka yang sudah memiliki kad kredit lebih daripada dua pengeluar diberi tempoh sehingga akhir tahun ini untuk menentukan kad yang menjadi pilihan. Masih belum terlambat syarat ini dikenakan setelah 50 peratus daripada 3.2 juta pemegang kad kredit berpendapatan kurang RM36,000 setahun. Diharapkan bank atau institusi kewangan yang menawarkan kad kredit dapat mematuhi arahan ini dan tidak terlalu mudah menawarkan kad hutang atau menambah had hutang pemilik kad yang sedia ada.

Peluang juga perlu diberi kepada mereka yang ingin ‘menyerah diri’ dengan memulangkan kad kredit supaya pelan penyelesaian hutang dapat diselesaikan tanpa membebankan pemilik. Memang sukar bagi yang sudah terlanjur dengan hutang kad kredit ini untuk menyusun semula hutang selagi kad kredit masih di tangan.

Ya...hutang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan. Bukan sekadar hutang wang ringgit dengan bank atau sesama manusia tetapi ada yang berhutang janji, hutang kerja, hutang belajar, hutang ibadat dan macam-macam lagi. Tetapi dalam banyak perkara hutang, isu hutang duit yang mendapat perhatian. Hutang wang dapat dikesan oleh BNM yang akhirnya mereka diisytiharkan muflis.

Hutang wang sama ada hutang dengan bank, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Mara dan pelbagai lagi memang menyusahkan kehidupan. Akibat kegagalan membayar hutang, ramai yang disenarai hitam. Mereka dihalang meminjam wang bagi urusan lebih penting termasuk membeli rumah atau ingin ke luar negara.

Baru-baru ini, kita didedahkan dengan kenyataan bahawa 1,086 penjawat awam diisytiharkan muflis. Sebanyak 72.74 peratus daripada mereka adalah lelaki. Kebanyakannya adalah golongan pertengahan, bergaji di bawah RM5,000 sebulan. Mereka yang berusia di antara 25 hingga 45 tahun muflis kerana menjadi penjamin, membuat pinjaman bank dalam jumlah yang banyak, sewa beli kereta tanpa deposit dan penggunaan kad kredit.

Jumlah ini hanya 1.46 peratus daripada sejumlah 1.27 juta penjawat awam. Bagaimanapun sepatutnya tidak ada penjawat awam yang muflis kerana mereka bergaji tetap dan perlu menguruskan kewangan dengan baik mengikut kemampuan gaji masing-masing. Begitu juga dengan ramai golongan muda yang muflis.

Tetapi bagaimana mahu menguruskan kewangan dengan baik kerana sebaik sahaja bekerja, hutang lama sedang menunggu untuk dijelaskan. Walaupun ia tidak melibatkan semua orang tetapi kebanyakan mereka yang melangkah keluar dari institusi pengajian tinggi sudah pun mempunyai senarai hutang untuk dijelaskan. Maknanya ramai yang sudah berhutang sejak masih belajar. Ada pelajar yang tidak mendapat pinjaman penuh PTPTN kerana sebab-sebab tertentu terpaksa pula berhutang dengan institusi kewangan/bank atau koperasi.

Maka jumlah hutang akan meningkat. Akhirnya selepas habis pengajian, pelajar terpaksa membayar hutang kepada dua pihak iaitu PTPTN dan bank/koperasi. Begitulah realiti kehidupan golongan muda sekarang apabila mereka sudah berhutang sebelum bekerja. Lebih parah apabila gaya hidup golongan pelajar di IPT, ada antara mereka ini mengatasi orang yang sudah bekerja.

Hutang baru akan menyusul selepas bekerja dengan keghairahan untuk memiliki kenderaan sendiri. Malahan ketika ini, tidak perlu deposit untuk membeli kereta. Cukup mudah. Tempoh pinjaman pula panjang menyebabkan tempoh menjelaskan hutang dan jumlah bayaran balik bulanan hutang meningkat. Itu bagi yang mempunyai dua sumber hutang. Bagaimana pula bagi mereka yang kemudiannya mendapat kad kredit yang mungkin digunakan untuk belanja perkahwinan dan mahu memiliki rumah?

Maka dalam usia yang muda bertambah lagi senarai hutang - PTPTN + hutang kereta + kad kredit + rumah . Kegagalan menjelaskan hutang bulanan mengikut jadual akhirnya menyebabkan golongan muda ini terjebak dalam kancah hutang yang lebih parah dan tidak mustahil, hutang akan ditanggung sehingga ke anak cucu atau sepanjang hayat.

Begitulah peritnya apabila mula terjebak ke dalam hutang – sama ada sengaja ditempah atau terpaksa ditempah. Maka perlunya perancangan kewangan yang lebih baik dan dalam hal ini, pihak berkuasa seperti BNM dan juga Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mempunyai peranan mendidik pengguna.

Tanpa perancangan kewangan yang baik, orang akan terus berhutang. Seperti lirik lagu Gali lubang tutup lubang nyanyian Salleh Yaacob. Antara lirik lagunya menyebut mengenai gali lubang untuk menutup lubang, tertutup lubang lama, lubang baru terbuka, gali lubang tutup lubang, pinjam wang bayar hutang. Lirik lagu ini sudah jelas menunjukkan bagaimana pihak yang berhutang berusaha untuk menyelesaikan hutang mereka tetapi kaedah yang digunakan tidak betul.

Ada yang kononnya memohon kad kredit untuk membayar hutang tetapi hakikatnya, disebabkan tidak ada pengurusan kewangan yang baik, dia sebenarnya menempah hutang baru. Inilah yang dikatakan gali lubang nak tutup lubang tetapi lubang baru terbuka.

Justeru perancangan kewangan amat penting. Dalam hal ini, penulis tertarik dengan Shamsul Ghau-Ghau yang tidak jemu ‘mencari wang’. Ketika bersembang dengannya semasa beliau hadir menjadi pengacara Konsert Terima Kasih di Plaza Angsana Johor Bahru malam kelmarin, beliau memberitahu beberapa ‘projek’ untuk menambah pendapatannya. Salah satu daripadanya tentulah Restoran Ibunda di Hentian Kajang, Jalan Reko.

Walaupun mendapat saingan hebat, beliau tetap bertahan dan pada masa yang sama, gigih mencari peluang perniagaan lain. Dan di atas pentas, jika diundang, Shamsul tetap ligat melayan peminat dan penonton. Syabas Shamsul. Dan terima kasih kepada beliau yang turut menghidupkan konsert sempena pelancaran wajah baru Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pada Sabtu lalu.

Terima kasih juga kepada Black Mentor, Ana Raffali, Meet Uncle Hussain, Tom My Starz LG, Adam AF, VIP. Tidak ketinggalan juga kepada Orkes Nirwana pimpinan A.Rahman Hassan dan Jeffrydin. Semoga warga Johor terhibur dengan konsert tanda terima kasih kami atas sokongan anda semua kepada Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia. Terima kasih!

Citra..
Warna-warni kehidupan

No comments:

Post a Comment