Tuesday 29 March 2011

Pencerobohan Facebook!

Pengguna perlu berwaspada dengan akaun Facebook mereka
Sering kedengaran berlakunya pencerobohan terhadap akaun-akaun laman web sosial Facebook. Bagaimanakah untuk menggunakannya secara selamat?

- Suria , KL

Dewasa ini, penggunaan laman web sosial Facebook menjadi satu budaya penting dalam kehidupan seharian.

Ia bukan sahaja tertumpu kepada penggunaan peribadi tetapi digunakan sebagai satu alat teknologi maklumat untuk komunikasi antara pelanggan-pelanggan dengan agensi-agensi jualan, rakyat dengan pemerintah, pelajar-pelajar dengan pensyarah dan lain-lain.

Capaiannya menerusi Internet juga tidak terbatas kepada penggunaan komputer peribadi yang mempunyai sambungan talian tetap.

Malah, dengan munculnya alat-alat komunikasi mudah alih berkuasa tinggi dengan harga yang murah seperti komputer tablet, komputer riba, netbook dan telefon pintar berupaya mencapai laman web Facebook menerusi talian Internet tanpa wayar.

Masa, alat dan tempat bukan lagi menjadi kekangan utama untuk mencapainya.

Oleh itu, laman sosial Facebook ini boleh dicapai di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja.

Malah, ada kedai-kedai atau pihak-pihak tertentu yang menyediakan kemudahan capaian Internet tanpa wayar ini secara percuma menerusi teknologi Wifi.

Capaian Internet tanpa wayar ini sebenarnya mengundang sebahagian besar masalah pencerobohan ke atas akaun-akaun di laman web Facebook.

Ini kerana data-data atau maklumat ‘berterbangan’ di udara dan sesiapa sahaja berupaya mengambilnya termasuklah data-data yang penting seperti login dan kata laluan.

Tambahan pula program-program komputer untuk tujuan pencerobohan ini agak mudah diperoleh di Internet dan mudah digunakan.

Dengan itu, berhati-hati dan berpada-padalah ketika melayari Internet menerusi capaian tanpa wayar ini.

Antara langkah-langkah awal yang boleh di ambil untuk menggunakan laman web sosial Facebook ini dengan selamat ialah menerusi konfigurasi keselamatan dan privasi yang baik pada akaun Facebook tersebut.

Apabila kita mencapai laman web sosial Facebook menerusi Internet sama ada menerusi teknologi berwayar atau pun tidak berwayar, sambungan terhadap laman web tersebut tidak dienkrip.

Ini bermaksud, sesiapa sahaja yang berupaya berada di kawasan sambungan tersebut akan boleh memperolehi apa sahaja maklumat atau data yang melalui sambungan itu secara jelas termasuk login dan kata laluan.

Bagi mengatasi masalah sambungan yang tidak dienkrip ini, pihak Facebook telah menyediakan fungsi keselamatan untuk kita mengenkrip sambungan capaian ke laman web Facebook menerusi Internet.

Dengan ini, sesiapa boleh atau berupaya mendapatkan data-data atau maklumat yang melalui sambungan tersebut tetapi data-data dan maklumat tersebut tidak dalam bentuk yang nyata.

Data atau maklumat tersebut akan disembunyikan dalam bentuk yang rahsia.

Penceroboh atau penggodam perlu meemecahkan kod terhadap proses enkripsi yang dibuat terhadap data atau maklumat itu untuk mendapatkannya.

Dalam Facebook, anda perlu pergi ke ruangan konfigurasinya.

Seterusnya memilih fungsi Account Security dan tandakan pada ruangan Secure Browsing (https).

Seterusnya, jangan lupa untuk menyimpan konfigurasi yang telah anda buat dengan mengklik pada butang Save.

Fungsi Secure Browsing ini baru sahaja diperkenalkan oleh pihak Facebook.

Jadi, pastikan dikemas kini terlebih dahulu akaun Facebook tersebut dengan kemas kini yang dianjurkan oleh pihak Facebook.

Sekiranya fungsi tersebut masih belum ada dalam akaun kita, sila maklum atau mohon kepada pihak Facebook atau nantikan sahaja kemas kininya oleh pihak Facebook.

Hasil daripada konfigurasi tersebut, melayari laman web Facebook menerusi Internet akan dienkrip seperti mana melayari laman-laman perbankan Internet yang menggunakan protokol keselamatan rangkaian https.

Selain daripada itu, pastikan juga konfigurasi untuk fungsi Privacy bagi akaun Facebook adalah baik. Pastikan dan tentukan mana maklumat yang perlu dikongsi oleh siapa sahaja dalam akaun Facebook anda. Pihak Facebook ada menyediakan cadangan konfigurasi Privacy dalam perkongsian maklumat seperti maklumat peribadi, maklumat rakan, gambar dan lain-lain.

Anda boleh tentukan sama ada anda mahu berkongsi maklumat dengan sesiapa sahaja, rakan sahaja, rakan kepada rakan sahaja atau menerima cadangan pihak Facebook.

Sekiranya anda masih tidak berpuas hati dengan konfigurasi tersebut, boleh memilih pilihan Custom. Di sini, anda boleh membuat konfigurasi sendiri untuk perkongsian maklumat dan boleh menetapkan hanya untuk tatapan atau capaian diri sendiri.

Konfigurasi pada bahagian Privacy ini penting bagi mengelakkan pihak yang tidak bertanggung jawab memanipulasikan maklumat yang dikongsikan atau dijadikan panduan untuk melakukan penggodaman atau pencerobohan terhadap akaun Facebook seseorang.

Sekiranya ada mana-mana akaun rakan Facebook yang disangsikan tujuannya, bolehlah kita blok akaun tersebut dalam fungsi Block Users.

Kadangkala kita melihat remeh-temeh berkenaan dengan fungsi Security dan Privacy dalam akaun Facebook ini.

Namun begitu, sekiranya akaun Facebook mendapat masalah seperti digodam dan sebagainya, barulah kelam kabut untuk mencari jalan penyelesaian.

Jadi, sebelum perkara yang lebih parah berlaku, marilah kita ambil langkah berjaga-jaga dengan melaksanakan konfigurasi yang betul dan selamat pada akaun Facebook.

Selain daripada itu, berhati-hatilah dengan e-mel palsu yang meminta maklumat dan kata laluan bagi akaun Facebook anda.

Ia merupakan satu penipuan yang sepatutnya kita sedar akan perkara tersebut dengan menyemak kembali sambungan URL yang disediakan, e-mel tersebut dihantar secara tiba-tiba tanpa ada keperluan atau anda memintanya, semak penghantar e-mel tersebut dan lain-lain.

Ia merupakan satu teknik penggodaman yang sangat mudah tanpa perlu melakukan perkara-perkara teknikal kerana pemilik akaun Facebook sendiri yang memberi maklumat-maklumat penting tersebut. Layari Internet dan laman web Facebook anda dengan selamat dan berhati-hati.

Citra..
Warna-warni kehidupan

Monday 28 March 2011

Kempen Earth Hour di KL!


26 MAC 2011: Menara Berkembar Petronas serta sebahagian besar bangunan dan pusat membeli-belah di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur bergelap selama sejam mulai pukul 8.30 malam ini bagi menyahut kempen Earth Hour yang disambut di seluruh dunia.

Citra..
Warna-warni kehidupan

Monday 21 March 2011

Kuasa iPad generasi kedua!

Selepas lebih setahun syarikat pengkomputeran Apple memperkenalkan peranti tablet pintar iPad, ia telah terjual sebanyak hampir 15 juta unit di seluruh dunia.

Sambutan luar biasa itu disebabkan pengguna tertarik dengan keunikan fungsinya yang membawa dimensi baru dalam operasi pengkomputeran mobiliti.

Memperluaskan legasi pembangunan gajet moden tersebut, Apple baru-baru ini menampilkan pula versi baru iPad 2 dengan keupayaan kuasa lebih baik dan cemerlang.

Pengenalannya telah dilakukan oleh Ketua Eksekutif Apple, Steve Jobs di San Francisco pada 2 Mac lalu.

Secara keseluruhannya, pembangunan peranti iPad 2 memberi fokus kepada pelaksanaan aktiviti pengkomputeran utama seperti pelayaran web, akses e-mel serta operasi multimedia untuk pengurusan foto, video, muzik, permainan video dan buku elektronik (e-book).

Binaan reka bentuk luar iPad 2 mempunyai 33 peratus lebih nipis dan 15 peratus lebih ringan berbanding versi pertamanya. Namun, daripada segi paparan, ia masih mengekalkan implementasi skrin LCD 9.7 inci dengan sokongan lampu belakang LED.

Operasi iPad 2 dipacu oleh sistem pemproses A5 berkembar yang menawarkan prestasi lebih pantas dan grafik makin menyerlah. Tidak cukup dengan itu, ia turut dilengkapi kamera VGA hadapan dan belakang bagi menyokong operasi panggilan video serta rakaman video definisi tinggi (HD) 720p.

Dengan keupayaan itu juga, pengguna kini boleh melakukan panggilan FaceTime kepada semua rangkaian peranti seperti iPhone 4, iPod Touch, dan Mac. Menerusi aplikasi Photo Booth pula, pengguna berpeluang mengedit foto yang telah di ambil dengan memasukkan kesan-kesan visual yang menarik.

iPad 2 dipacu oleh sistem operasi iOS 4.3 versi terkini yang menampilkan aplikasi-aplikasi seperti pelayar Safari Mobile, iTunes Home Sharing dan AirPlay.

Selain itu, pengguna turut ditawarkan dengan aplikasi iMovie untuk menyunting video serta Hotspot untuk tujuan perkongsian sambungan data selular bersama iPhone 4 menerusi Wi-Fi.

Spesifikasi lainnya adalah seperti perisian Gyro untuk permainan video, akses pelayaran HSUPA dan paparan kandungan televisyen HD melalui sambungan adaptor.

Sesuatu yang menarik, iPad 2 ini didatangkan bersama penutup pintar di bahagian hadapannya yang bertindak sebagai penyokong bahagian badan secara menegak ketika peranti digunakan untuk menaip atau menonton video.

Penutup pintar itu juga dibangunkan dengan rekaan engsel magnetik unik supaya mudah di pasang dan ditanggalkan selain dilengkapi lapisan gentian mikro bagi menjamin kebersihan permukaan skrin.

Ia turut berperanan mengaktifkan peranti secara automatik apabila ia dibuka dan menamatkan operasi sebaik ditutup. Setakat ini, iPad 2 boleh menyokong lebih 350,000 aplikasi daripada App Store dan 65,000 aplikasi yang dibangunkan oleh individu atau syarikat daripada 20 kategori.

Ia termasuk permainan video, bisnes, berita, sukan, kesihatan dan pelancongan. Menerusi aplikasi iTunes Store pula, pengguna iPad 2 berpeluang mengakses paparan kandungan muzik, televisyen dan filem secara dalam talian.

Walaupun iPad 2 mampu menyokong pelbagai perisian dan aplikasi, namun ia mempunyai ketahanan jangka hayat bateri sehingga 10 jam.

Citra..
Warna-warni kehidupan

Sehebat kamera profesional!

DUNIA dan teknologi fotografi yang kian maju semakin diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat, apatah lagi ia mampu memberi seribu makna dengan hanya sekeping gambar.

Ini dapat dibuktikan dengan kewujudan serta penjualan pelbagai jenis kamera yang membariskan penggunaan dari peringkat amatur hingga ke taraf profesional.

Jika anda merancang untuk memiliki sebuah kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) dan masih samar-samar akan keupayaan kamera yang mahu dibeli, apa kata anda 'intai' dahulu D7000, kamera SLR terbaru oleh syarikat pengimejan terkemuka dunia, Nikon.

D7000 bakal memberi kelainan kepada peminat siri DSLR kelas pertengahan yang baru berjinak-jinak dalam dunia fotografi tetapi mementingkan kualiti dan mahu karya mereka sehebat dan setanding jurugambar profesional.

Pengurus Pusat Servis Nikon, Mahfooz NR berkata, jenama Nikon sememangnya terkenal dengan siri kamera DSLR yang mampu menghasilkan imej berkualiti tinggi, jelas serta menarik.

Pada bengkel Nikon bersama media baru-baru ini, beliau berkata, selain memiliki reputasi yang amat baik dalam dunia seni fotografi, Nikon juga memiliki jumlah peminat yang amat besar di negara ini.

Nikon D7000 dijana oleh pemproses imej EXPEED 2, mampu menghasilkan imej dalam definasi tinggi (HD) dengan 16 mega piksel yang kualitinya mirip dengan hasil daripada kamera profesional yang menelan harga puluhan ribu ringgit.

Ia juga kamera pertama DSLR oleh Nikon dengan keupayaan fungsi merakam video HD dan model kelas pertengahan pertama dengan panel resolusi-tinggi 3.0-inci VGA LCD.

Format DX sensor imej kamera ini berupaya merakam enam gambar sesaat (6fps), pemproses imej terbaru serta meter penderia baru RGB yang boleh mencapai 2,016 piksel. Ia boleh merakam video dengan sepenuhnya dalam format HD.

Kamera ini juga dilengkapi dengan dua ruang kad memori SDHC dan SDXC.

Mahfooz berkata, Nikon D7000 yang dicipta dengan keperluan ISO100-6400 dan tambahan peningkatan sehingga Hi 2 (menyamai ISO25600), hingga mampu untuk penggambaran dalam cahaya suram tanpa menggunakan sebarang lampu denyar.

Apa yang menakjubkan, meskipun menghasilkan gambar dengan menggunakan ISO yang paling tinggi, ia tidak mengeluar bintik kasar (noise) seperti DSLR yang lain.

Selain prestasi tingginya, harga yang ditawarkan amat berpatutan dan mampu milik bagi peminat fotografi iaitu RM4,998 termasuk sebuah lensa AF-S DX Nikkor 18-105mm f/3.5-5.6G ED VR.

Dengan Nikon D7000, jurugambar tidak lagi pening kepala untuk menghasilkan pelbagai gambar menarik, baik gambar di jalanan, peristiwa, sukan ataupun gambar studio kerana aplikasi yang disediakan cukup mudah.

Orang ramai yang mahu mendekati rangkaian produk Nikon dan teknologi fotografi di bawah satu bumbung, boleh berbuat demikian di pusat sehenti perkhidmatan inovatif Nikon di tingkat satu, East Wing, Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Mahfooz berkata, selain menghantar kamera untuk dibaiki, pelanggan turut berpeluang mendapatkan khidmat nasihat profesional berhubung kamera mahupun sebarang keraguan mengenai fotografi daripada kakitangan Nikon yang terlatih.

Di pusat sehenti itu, penggemar fotografi berkesempatan menyentuh, melihat dan merasai sendiri pengalaman interaksi bersama peralatan kamera Nikon.

"Pusat ini adalah pusat perkhidmatan inovatif Nikon yang terbesar di Asia Tenggara membariskan rangkaian produk amatur hingga ke profesional khusus buat pengguna di negara ini".

Mahfooz berkata di pusat inovatif itu juga jurugambar media dan profesional berpeluang mendapat pinjaman kamera sementara menunggu kamera mereka dibaiki.

Khidmat tersebut yang dipanggil Nikon Professional Services (NPS), didedikasikan untuk memberi sokongan dan bantuan kepada jurugambar profesional yang mendaftar sebagai ahli terutama jurugambar media di mana-mana sahaja di seluruh dunia.

Contohnya, apabila mereka, yang bertugas pada kejohanan sukan besar seperti Sukan SEA, mengalami kerosakan atau kehilangan kamera adalah layak diberi pinjaman kamera dari gerai Nikon.

Mahfooz berka ta Nikon akan berusaha membaiki sebarang kerosakan dengan secepat mungkin dan akan meminjamkan kamera termasuk kamera digital keluaran terbaru Nikon jika proses membaikinya mengambil masa panjang.

"Kami terlibat dengan hampir semua Sukan SEA dan kami menyediakan perkhidmatan secara percuma kepada semua jurugambar yang mendapat pentauliahan dalam polisi dan komitmen kami untuk memberikan perkhidmatan kepada pelanggan," katanya.

Malah pada Pameran Kamera Jepun yang kedua di Yokohama, Jepun mulai 9 hingga 12 Februari lepas, Nikon memberi sokongan dan bantuan kepada jurugambar media dari seluruh dunia sepanjang berlangsungnya pameran itu.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti dan promosi yang dijalankan oleh pusat perkhidmatan Nikon boleh layari www.nikoncentre.nikon.com.my . Manakala maklumat dan spesifikasi lengkap mengenai model-model
kamera boleh diperoleh di laman web http://www.nikon.com.my/.

Citra..
Warna-warni kehidupan

Peranti magik iPad 2!

Satu juta iPad 2 dijual dalam masa seminggu di Amerika Syarikat (AS)? Wah.., hebat sungguh penangan gajet terbaru dari Apple ini sehinggakan ia menjadi idaman kepada sesiapa sahaja. Minatnya berjaya menyusup masuk ke hati mereka yang tidak pernah berminat kepada produk-produk keluaran syarikat yang berpangkalan di Cupertino, California itu sebelum ini.

Jualan iPad 2 itu menyaksikan Apple berjaya menjual tiga kali lebih banyak daripada produk syarikat pesaingnya seperti Samsung, Motorola, HP dan juga lain-lain pengeluar komputer tablet di pasaran.

Apa yang menarik, kajian terhadap pembeli iPad 2 mendapati 60 peratus daripada mereka yang membeli produk itu adalah pengguna produk Apple sebelum ini tetapi 40 peratus daripadanya pula adalah pembeli produk pertama dari syarikat itu.

Selepas pelancarannya di AS minggu lepas, iPad 2 akan dijual di 26 negara pada 25 Mac ini tetapi setakat ini tiada tarikh pelancaran rasmi diumumkan untuk pasaran Malaysia.

Apa yang menarik mengenai komputer tablet dari Apple ini sehinggakan ia menjadi bualan ramai? Sudah tentu, ia kini lebih nipis, laju, ringan, jangka hayat bateri lebih panjang dan mempunyai penutup yang sangat menarik!

iPad 2 yang digelar sebagai 'peranti magik' masa depan itu seperti biasa mempunyai kemampuan melayari Internet, membaca dan menghantar e-mel, menikmati foto, video, mendengar lagu, bermain permainan, membaca e-buku dan pelbagai lagi.

"Dengan jualan iPad mencecah 15 juta, iPad telah berjaya memberi definasi baru bagi dunia peranti bergerak," kata Ketua pegawai eksekutif Apple Inc., Steve Jobs.

Katanya, ketika terdapat pihak-pihak lain sedang berusaha 'meniru' kejayaan iPad generasi pertama, Apple kini telah memperkenalkan iPad 2 yang akan membawa iPad lebih jauh ke hadapan dan seterusnya menyebabkan pesaing terpaksa mengubah lagi reka bentuk dan teknologi produk mereka.

Komputer tablet ini sudah tentu mempunyai reka bentuk baru yang lebih menarik dengan 33 peratus lebih nipis iaitu pada ketebalan 8.8 milimeter dan berat 600 gram, iaitu 15 peratus lebih ringan daripada model iPad sebelum ini

Walaupun mengekalkan saiz skrin 9.7 inci seperti model sebelum ini, ia kini tidak mempunyai bingkai dan memudahkan pergerakan jari pada skrin sesentuhnya.

iPad 2 menggunakan iOS 4.3, versi terkini perisian sistem operasi bergerak dari Apple dan juga dilengkapi perisian pelayar Safari yang membolehkan pelayaran Internet lebih laju, iTunes Home Sharing, AirPlay dan personal HotSpot.

Gajet ini juga dilengkapi dengan ciri-ciri gyro terbina dalam untuk membolehkan permainan komputer, sokongan HSUPA untuk meningkatkan kelajuan memuatnaik 3G dan HDMI Video Mirroring untuk membolehkan pengguna iPad menonton di televisyen digital menggunakan adaptor pilihan.

Komputer ini juga menggunakan cip pemproses dual-core A5 untuk meningkatkan prestasi dan juga grafik, di samping mempunyai dua kamera di hadapan dan belakang untuk membolehkan anda melakukan persidangan video melalui Internet yang disambung melalui Wi-Fi atau 3G.

Kamera hadapan VGA boleh digunakan untuk persidangan video FaceTime dan PhotoBooth dan kamera di belakang boleh mengambil gambar pegun dan video 720 HD.

Walaupun mempunyai ciri-ciri berkuasa tetapi iPad 2 masih boleh mengekalkan tahap kesediaan bateri sehingga 10 jam untuk melayari Internet tetapi apa yang lebih menarik ialah ia mempunyai pelindung magnetik Smart Cover yang kaya dengan warna.

iPad 2 mempunyai dua warna untuk pilihan iaitu warna hitam dan putih dan terdapat model yang oleh menggunakan rangkaian 3G dan di AS, ia boleh menggunakan rangkaian 3G AT&T dan Verizon.

iPad 2 dengan Wi-Fi dipasarkan di AS dengan harga AS$499 untuk model 16GB, AS$599 model dan AS$699 model 64GB.

Selain itu, ia juga mempunyai model dengan Wi-Fi dan 3G yang berbeza harga untuk ketiga-ketiga model itu iaitu AS$629 (16GB), AS$729 (32GB) dan AS$829 (64GB).

Citra..
Warna-warni kehidupan

Sunday 20 March 2011

Senarai hutang menanti pada usia muda!

Akhirnya Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan syarat hanya mereka yang berpendapatan minimum RM24,000 setahun layak memohon kad kredit. Bagi yang mempunyai pendapatan RM36,000 setahun atau kurang hanya boleh memiliki kad kredit daripada dua pengeluar kad.

Mereka yang sudah memiliki kad kredit lebih daripada dua pengeluar diberi tempoh sehingga akhir tahun ini untuk menentukan kad yang menjadi pilihan. Masih belum terlambat syarat ini dikenakan setelah 50 peratus daripada 3.2 juta pemegang kad kredit berpendapatan kurang RM36,000 setahun. Diharapkan bank atau institusi kewangan yang menawarkan kad kredit dapat mematuhi arahan ini dan tidak terlalu mudah menawarkan kad hutang atau menambah had hutang pemilik kad yang sedia ada.

Peluang juga perlu diberi kepada mereka yang ingin ‘menyerah diri’ dengan memulangkan kad kredit supaya pelan penyelesaian hutang dapat diselesaikan tanpa membebankan pemilik. Memang sukar bagi yang sudah terlanjur dengan hutang kad kredit ini untuk menyusun semula hutang selagi kad kredit masih di tangan.

Ya...hutang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan. Bukan sekadar hutang wang ringgit dengan bank atau sesama manusia tetapi ada yang berhutang janji, hutang kerja, hutang belajar, hutang ibadat dan macam-macam lagi. Tetapi dalam banyak perkara hutang, isu hutang duit yang mendapat perhatian. Hutang wang dapat dikesan oleh BNM yang akhirnya mereka diisytiharkan muflis.

Hutang wang sama ada hutang dengan bank, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Mara dan pelbagai lagi memang menyusahkan kehidupan. Akibat kegagalan membayar hutang, ramai yang disenarai hitam. Mereka dihalang meminjam wang bagi urusan lebih penting termasuk membeli rumah atau ingin ke luar negara.

Baru-baru ini, kita didedahkan dengan kenyataan bahawa 1,086 penjawat awam diisytiharkan muflis. Sebanyak 72.74 peratus daripada mereka adalah lelaki. Kebanyakannya adalah golongan pertengahan, bergaji di bawah RM5,000 sebulan. Mereka yang berusia di antara 25 hingga 45 tahun muflis kerana menjadi penjamin, membuat pinjaman bank dalam jumlah yang banyak, sewa beli kereta tanpa deposit dan penggunaan kad kredit.

Jumlah ini hanya 1.46 peratus daripada sejumlah 1.27 juta penjawat awam. Bagaimanapun sepatutnya tidak ada penjawat awam yang muflis kerana mereka bergaji tetap dan perlu menguruskan kewangan dengan baik mengikut kemampuan gaji masing-masing. Begitu juga dengan ramai golongan muda yang muflis.

Tetapi bagaimana mahu menguruskan kewangan dengan baik kerana sebaik sahaja bekerja, hutang lama sedang menunggu untuk dijelaskan. Walaupun ia tidak melibatkan semua orang tetapi kebanyakan mereka yang melangkah keluar dari institusi pengajian tinggi sudah pun mempunyai senarai hutang untuk dijelaskan. Maknanya ramai yang sudah berhutang sejak masih belajar. Ada pelajar yang tidak mendapat pinjaman penuh PTPTN kerana sebab-sebab tertentu terpaksa pula berhutang dengan institusi kewangan/bank atau koperasi.

Maka jumlah hutang akan meningkat. Akhirnya selepas habis pengajian, pelajar terpaksa membayar hutang kepada dua pihak iaitu PTPTN dan bank/koperasi. Begitulah realiti kehidupan golongan muda sekarang apabila mereka sudah berhutang sebelum bekerja. Lebih parah apabila gaya hidup golongan pelajar di IPT, ada antara mereka ini mengatasi orang yang sudah bekerja.

Hutang baru akan menyusul selepas bekerja dengan keghairahan untuk memiliki kenderaan sendiri. Malahan ketika ini, tidak perlu deposit untuk membeli kereta. Cukup mudah. Tempoh pinjaman pula panjang menyebabkan tempoh menjelaskan hutang dan jumlah bayaran balik bulanan hutang meningkat. Itu bagi yang mempunyai dua sumber hutang. Bagaimana pula bagi mereka yang kemudiannya mendapat kad kredit yang mungkin digunakan untuk belanja perkahwinan dan mahu memiliki rumah?

Maka dalam usia yang muda bertambah lagi senarai hutang - PTPTN + hutang kereta + kad kredit + rumah . Kegagalan menjelaskan hutang bulanan mengikut jadual akhirnya menyebabkan golongan muda ini terjebak dalam kancah hutang yang lebih parah dan tidak mustahil, hutang akan ditanggung sehingga ke anak cucu atau sepanjang hayat.

Begitulah peritnya apabila mula terjebak ke dalam hutang – sama ada sengaja ditempah atau terpaksa ditempah. Maka perlunya perancangan kewangan yang lebih baik dan dalam hal ini, pihak berkuasa seperti BNM dan juga Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mempunyai peranan mendidik pengguna.

Tanpa perancangan kewangan yang baik, orang akan terus berhutang. Seperti lirik lagu Gali lubang tutup lubang nyanyian Salleh Yaacob. Antara lirik lagunya menyebut mengenai gali lubang untuk menutup lubang, tertutup lubang lama, lubang baru terbuka, gali lubang tutup lubang, pinjam wang bayar hutang. Lirik lagu ini sudah jelas menunjukkan bagaimana pihak yang berhutang berusaha untuk menyelesaikan hutang mereka tetapi kaedah yang digunakan tidak betul.

Ada yang kononnya memohon kad kredit untuk membayar hutang tetapi hakikatnya, disebabkan tidak ada pengurusan kewangan yang baik, dia sebenarnya menempah hutang baru. Inilah yang dikatakan gali lubang nak tutup lubang tetapi lubang baru terbuka.

Justeru perancangan kewangan amat penting. Dalam hal ini, penulis tertarik dengan Shamsul Ghau-Ghau yang tidak jemu ‘mencari wang’. Ketika bersembang dengannya semasa beliau hadir menjadi pengacara Konsert Terima Kasih di Plaza Angsana Johor Bahru malam kelmarin, beliau memberitahu beberapa ‘projek’ untuk menambah pendapatannya. Salah satu daripadanya tentulah Restoran Ibunda di Hentian Kajang, Jalan Reko.

Walaupun mendapat saingan hebat, beliau tetap bertahan dan pada masa yang sama, gigih mencari peluang perniagaan lain. Dan di atas pentas, jika diundang, Shamsul tetap ligat melayan peminat dan penonton. Syabas Shamsul. Dan terima kasih kepada beliau yang turut menghidupkan konsert sempena pelancaran wajah baru Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pada Sabtu lalu.

Terima kasih juga kepada Black Mentor, Ana Raffali, Meet Uncle Hussain, Tom My Starz LG, Adam AF, VIP. Tidak ketinggalan juga kepada Orkes Nirwana pimpinan A.Rahman Hassan dan Jeffrydin. Semoga warga Johor terhibur dengan konsert tanda terima kasih kami atas sokongan anda semua kepada Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia. Terima kasih!

Citra..
Warna-warni kehidupan