Tuesday 25 September 2012

Gadis bertudung pecah 'tembok' Hollywood!



Jauh gadis tinggi lampai ini berkelana menjaja bakat hingga ke negara Uncle Sam. Dalam tempoh dua tahun ini, sudah menjadi kebiasaan buat Yunalis Mat Zara'ai atau Yuna berulang alik dari Malaysia ke Amerika Syarikat (AS).

Seperti diketahui peminat, anak kelahiran Kedah ini giat melebarkan karier seni di AS. Kerja keras Yuna juga berbaloi apabila kemunculan album sulungnya untuk pasaran AS dan Eropah diterima baik pendengar.

Malah, sejak April hingga Ogos lalu, pelantun lagu Terukir di Bintang ini telah menjelajah ke beberapa lokasi di AS untuk memperkenalkan muziknya. Di sebalik kesibukan mengharungi jadual yang luar biasa padat, Yuna sempat mencuri masa untuk pulang ke tanah air tercinta.

Kesempatan media bertemu Yuna di sidang media sempena konsert Homecoming Yuna, di Petaling Jaya, baru-baru ini, digunakan sebaiknya untuk 'mencungkil' kisah kembaranya di AS.

Tidak lokek berkongsi cerita, tutur Yuna, dia sememangnya teruja menikmati pengalaman baru sepanjang berada di sana.

"Apa yang boleh saya katakan, cara kerja di sana sangat pantas. Untuk mempromosikan album, saya akan 'travel' menaiki van.

"Maklumlah, AS sebuah negara yang sangat besar. Hampir setiap hari, saya perlu terlibat dengan siri jelajah di lokasi berbeza. Semua itu memang memenatkan, tapi saya sendiri tidak sangka saya mampu melakukannya," nada teruja menghiasi bicara Yuna petang itu.

Bernaung di bawah Fader Label, jelas Yuna, bukan mudah sebenarnya untuk seorang anak Melayu menembusi pasaran sana.

Selain kerja keras, jangan bermimpi untuk bersaing sekiranya tiada keyakinan diri. Uniknya Yuna, imej bertudung yang dibawanya sejak awal kemunculan tidak sesekali ditinggalkan.

Siapa sangka, seorang gadis Muslim dan bertudung mampu memecah 'tembok' di negara yang terlalu berbeza budaya dan nilai hidupnya.

"Banyak benda yang saya terpaksa korbankan untuk sampai ke sana, maka saya tidak boleh melakukannya separuh jalan. Menjadi orang asing di AS, tahap keyakinan diri kena tinggi.

"Soal imej, pada mulanya, risau juga dengan perbezaan budaya dan pandangan skeptikal masyarakat sana terhadap wanita bertudung.

"Namun, saya juga seperti orang lain ada agama dan kepercayaan. Alhamdulillah, berkat doa keluarga dan peminat, segalanya berjalan lancar dan kehadiran saya sudah mula diterima," katanya yang gembira salah satu lagu daripada albumnya, Lullabies dijadikan lagu tema sebuah program realiti di AS.

Perihal Rihanna, MTV EMA

Apabila memperkatakan mengenai Yuna, bukan rakyat Malaysia saja yang berbangga dengan pencapaian gadis 26 tahun ini. Di laman Twitter tidak lama dulu kecoh apabila penyanyi sensasi Hollywood, Rihanna menghantar Tweet yang menyebut nama Yuna.

Ya, muzik Yuna kini mula mendapat perhatian pengiat seni di AS. Tetapi bagi Yuna, dia enggan melebih-lebih apabila berbicara soal itu.

"Siapa yang tidak suka jika dipuji penyanyi popular, malah saya hargai setiap maklum balas positif diterima.

"Cuma, saya rasa masih terlalu awal untuk mendapat pengiktirafan sebegitu. Tahun pertama di AS, saya anggap sebagai proses pembelajaran.

"Saya masih lagi bekerja keras untuk mengukuhkan nama di sana. Beri saya dua atau tiga tahun lagi untuk lebih menyinar," katanya merendah diri.

Mengenai pencalonannya di dalam MTV Europe Music Award (EMA) yang akan berlangsung November ini, Yuna juga tidak meletakkan harapan tinggi. Apatah lagi, dia perlu bersaing dengan nama besar seperti Super Junior, EXILE, Han Geng dan Jolin Tsai bagi kategori Best Asian Act.

"Rasa macam kelakar pula apabila tercalon. Kalau saya pun akan pilih Super Junior (ketawa).

"Ini semua saya anggap sebagai rezeki dan saya berbangga dapat sokongan daripada peminat," katanya yang akan kembali sibuk dengan mini tour di AS bermula 5 Oktober ini.

Hadiah untuk peminat

Dalam sidang media tersebut, Yuna turut mengumumkan berita baik untuk peminat yang sekian lama menunggu persembahannya di sini. Pada 10 dan 16 November ini, Yuna akan muncul dalam konsert khas di Pulau Pinang dan Sarawak.

Bercerita lanjut, kata Yuna, dia sememangnya sudah lama mengidamkan konsert sendiri untuk menghargai peminat setianya.

"Setelah enam tahun berkecimpung sebagai anak seni, akhirnya saya dapat merealisasikan hasrat ini.

"Saya tidak sabar mahu bertemu peminat dan berkongsi pengalaman saya di AS dengan mereka. Anggaplah konsert ini sebagai hadiah untuk anda semuanya," katanya.

Masih berahsia mengenai konsep konsert tersebut, menurut Yuna, dia berkemungkinan menyanyikan 20 buah lagu.

"Kali pertama saya akan menyanyikan lagu sebanyak itu, tetapi saya yakin boleh melakukannya.

"Istimewanya, selain lagu lama saya juga akan menyanyikan lagu yang dipetik daripada album pasaran AS," katanya yang terkenal dengan rangkaian lagu popular seperti Dan Sebenarnya, Gadis Semasa dan Cinta Sempurna.

PROFIL

Nama sebenar: Yunalis Mat Zara'ai
Nama komersial: Yuna
Tarikh lahir: 14 November 1986
Tempat lahir: Alor Setar, Kedah
Keluarga: Anak tunggal
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Undang Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Idola: Fiona Apple, The Cardigans, Datuk Siti Nurhaliza
Album: Yuna Demo (2008), Yuna EP (2008), Decorate (2010), Terukir di Bintang (2012), Yuna (2012)
Label: Yuna Room Records, Fader Label (AS)

Pencapaian:

1. Tempat kedua (Anugerah Juara Lagu (AJL) 24)
2. Artis Baru Popular, (Anugerah Bintang Popular (ABP) 2009)
3. Artis Baru Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Terbaik (Anugerah Industri Muzik (AIM) 2009)
4. Vokal Wanita Terbaik, Anugerah Kembara (AIM 2010)
5. Breakthrough Artist, Best Popstar Award, The Ultimate Shout Awards (Shout Awards 2010)
6. Penyanyi Wanita Popular (ABP 2010, 2011)
7. Ikon Seni Malaysia (Ogos 2012)

TRIVIA

- Membesar di Subang Jaya, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak
- Mula menulis puisi sejak berumur 14 tahun
- Menghasilkan lagu pertama ketika usia 19 tahun
- Belajar bermain gitar daripada temannya
- Mengikuti kelas piano ketika di darjah satu
- Muziknya banyak dipengaruhi artis 90-an
- Mula dikenali melalui laman sosial, MySpace
- Mempunyai band sendiri

Portal Citra